NUR ASLAH BINTI MD DIWI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN MIZAN
Kemahiran membaca merupakan asas dalam pembelajaran Bahasa Melayu, khususnya bagi murid Tahap 1. Namun, masih terdapat murid yang menghadapi kesukaran membatangkan suku kata terbuka serta kurang berminat akibat kaedah pengajaran yang kurang menarik. Oleh itu, Pintu Ajaib Suku Kata dibangunkan sebagai inovasi berasaskan gamifikasi yang menggabungkan modul komik, permainan interaktif dan Buku Tiga Garisan Berwarna. Pembelajaran dilaksanakan secara berperingkat melalui lima tahap permainan dengan maklum balas segera bagi meningkatkan motivasi dan penglibatan murid. Komik membantu pemahaman konsep suku kata, manakala buku tersebut membimbing penulisan huruf kemas. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi meningkatkan penguasaan suku kata terbuka serta memupuk minat membaca.