NURUL ALYAA IFFAH BINTI AHMAD BASRI Universiti Utara Malaysia (UUM)
Inovasi ini bertujuan untuk membangunkan sebuah platform pembelajaran interaktif berasaskan laman web yang dinamakan “HistoLearn: Platform Interaktif Berasaskan Silibus Sejarah Tingkatan 5”. Inovasi ini dibangunkan bagi menangani masalah kurangnya minat serta tahap pemahaman pelajar terhadap subjek Sejarah Tingkatan 5 yang sering dianggap padat dengan fakta dan sukar diingati. Selain itu, kaedah pembelajaran konvensional yang berpusatkan buku teks semata-mata didapati kurang menarik dan tidak mampu menggalakkan penglibatan aktif pelajar.
Sehubungan itu, platform ini dibangunkan sebagai alternatif pembelajaran digital yang lebih interaktif dan sistematik dengan menghimpunkan kandungan berdasarkan silibus Sejarah Tingkatan 5 KSSM. Platform ini menyusun topik utama secara teratur serta mengintegrasikan elemen multimedia seperti infografik, gambar dan garis masa (timeline) bagi membantu pelajar memahami sesuatu peristiwa sejarah dengan lebih jelas dan berkesan. Di samping itu, elemen kuiz interaktif turut disediakan bagi menguji tahap pemahaman pelajar serta menjadikan proses ulang kaji lebih menyeronokkan melalui pendekatan gamifikasi.
Inovasi ini bukan sahaja memudahkan akses kepada bahan pembelajaran yang tersusun, malah turut meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran kendiri. Diharapkan HistoLearn dapat menjadi platform pembelajaran alternatif yang efektif dalam membantu pelajar Tingkatan 5 menguasai subjek Sejarah dengan lebih mudah, seterusnya meningkatkan pencapaian akademik dan minat terhadap mata pelajaran tersebut.