ST98: EKSPLORASI GELAR-SAPA 1.0

DR. NORHISHAM BIN MOHD KASIM IPG KAMPUS SULTAN MIZAN

Bahasa Sapaan ialah unsur penting dalam penggunaan bahasa yang menggambarkan nilai kesantunan, hierarki sosial serta hubungan interpersonal dalam sesebuah masyarakat. Dalam masyarakat Melayu, Bahasa Sapaan bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut menjadi lambang adab dan keharmonian sosial dalam interaksi harian. Walau bagaimanapun, perkembangan semasa seperti globalisasi, perubahan gaya hidup dan penggunaan media digital telah membawa kepada perubahan serta kekeliruan dalam penggunaan Bahasa Sapaan yang tepat. Sehubungan itu, inovasi Eksplorasi Gelar-Sapa dibangunkan untuk memperkenalkan dan memperkukuh pemahaman tentang penggunaan Bahasa Sapaan yang betul agar dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang berketerampilan dalam Kemahiran Bertutur, di samping memupuk budaya komunikasi yang lebih harmoni dan beradab. Selain itu, dapatan kajian tindakan ini diharapkan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan Bahasa Sapaan yang sesuai dan sopan dalam pelbagai situasi komunikasi.

Kata Kunci: Bahasa Sapaan, Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Bertutur