AINUL MARDHIAH BINTI MAZLAN SK PAUH
Pembundaran merupakan kemahiran Matematik yang perlu dikuasai sejak Tahun 2, namun murid sering keliru dengan kaedah tradisional seperti “naik bukit turun bukit”, “nombor kaya nombor miskin” serta keperluan menambah 1. Bagi mengatasi masalah ini, projek My BundUler, singkatan daripada Bundar Guna Ruler, dibangunkan menggunakan konsep pembaris yang mudah difahami. Murid dibimbing memahami bahawa nombor 5 dan ke atas bergerak ke kanan, manakala nombor kurang daripada 5 bergerak ke kiri mengikut nilai tempat yang hendak dibundarkan. Aplikasi ini dibangunkan menggunakan MIT App Inventor kerana percuma, mudah digunakan dan sesuai untuk pembangunan aplikasi pendidikan. My BundUler mempunyai empat menu utama, iaitu Nota, Tutorial, Jom Cuba dan Kuiz. Menu Tutorial menyediakan video penerangan, manakala menu Jom Cuba dilengkapi kalkulator pembundaran yang membolehkan murid menyemak jawapan sendiri. Menu Kuiz pula menyediakan tiga tahap kuiz dengan markah penuh 100% bagi menguji tahap penguasaan murid. Pelaksanaan secara interaktif dan visual membantu murid belajar secara kendiri, menyeronokkan serta meningkatkan pemahaman konsep pembundaran. Hasil penggunaan menunjukkan My BundUler memberi impak positif terhadap pemahaman dan prestasi murid serta meningkatkan minat mereka terhadap Matematik. Aplikasi ini telah berjaya dibangunkan dan digunakan sebagai bahan pembelajaran kendiri. Pada masa hadapan, aplikasi akan ditambah baik dengan lebih banyak kuiz berbentuk permainan serta AI Chatbot untuk menu soal jawab. Projek ini juga boleh dihasilkan dalam dwibahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.