NUR KHAIYISAH BINTI MOHD FADLI SK TEDONG, MELAKA
Type Your
CinnaPine Bio Spray merupakan inovasi semburan pembersih meja makan berasaskan bahan semula jadi yang dihasilkan daripada kulit nanas dan kulit kayu manis. Produk ini dibangunkan bagi menyokong amalan kebersihan dan keselamatan makanan dalam kalangan pengendali sajian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di SK Tedong, Melaka. Bertemakan “from leftovers to cleanovers”, inovasi ini memanfaatkan sisa buangan dapur sebagai bahan utama bagi menghasilkan produk pembersih yang lebih selamat, mesra alam dan berkos rendah. Kulit nanas mengandungi enzim bromelain yang membantu menanggalkan kotoran serta sisa minyak manakala kulit kayu manis mempunyai sifat antibakteria dan aroma semula jadi yang menyegarkan serta membantu mengurangkan kehadiran lalat dan semut di kawasan makan. Proses penghasilan produk ini melibatkan kaedah pemeraman kulit nanas dan kulit kayu manis bersama cuka makanan dan air bertapis selama tiga hingga lima hari sebelum dimasukkan ke dalam botol semburan untuk digunakan. Hasil soal selidik terhadap 10 orang pengguna menunjukkan tahap penerimaan yang sangat positif apabila majoriti responden bersetuju bahawa CinnaPine Bio Spray berkesan untuk membersih, mempunyai bau yang menyenangkan, selamat digunakan serta berpotensi untuk digunakan dan dicadangkan kepada orang lain. Dari aspek potensi komersial, produk ini sesuai dipasarkan kepada pengusaha premis makanan, suri rumah, penduduk setempat dan institusi pendidikan sebagai alternatif kepada semburan pembersih berasaskan bahan kimia industri. Inovasi ini berpotensi diketengahkan sebagai produk pembersih semula jadi yang praktikal, ekonomik dan lestari sejajar dengan amalan teknologi hijau dan kitar semula bahan buangan dapur.
Keywords: semburan, kulit nanas, kulit kayu manis, enzim bromelain, RMT