PR551: SMARTMATH 4

Ts. AZRI BIN SAID SEKOLAH MENENGAH TEKNIK SEJINGKAT

ICTE26 | Professional

CR: nan | 0 Likes | 0 Views | 1 times | LS: 1.0
Like it? | Support them now!

SmartMath4 ialah aplikasi web responsif Matematik Tingkatan 4 KSSM yang dibangunkan bagi menangani PdPc berpusatkan guru, penggunaan teknologi yang terhad, murid cepat bosan serta kekangan masa dan kreativiti guru bagi menyediakan bahan pembelajaran berkualiti. Tinjauan literatur menunjukkan bahawa gamifikasi, simulasi interaktif, penilaian formatif dan maklum balas segera berupaya meningkatkan penglibatan serta pemahaman matematik; namun, platform tempatan yang menyepadukan semua fungsi tersebut masih terhad. SmartMath4 menghimpunkan 10 topik lengkap, dengan sembilan aktiviti bagi setiap topik merangkumi nota, dua hingga tiga simulasi, kuiz individu, tiga cabaran kumpulan, aplikasi kontekstual, Penjana RPH dan rekod prestasi. Metodologi reka bentuk dan pembangunan secara iteratif menggunakan HTML5, CSS, JavaScript, Python, Firebase, Google Sheets dan Apps Script dengan sokongan AI; keberkesanannya dinilai melalui ujian topikal 30 item dan soal selidik terhadap 30 murid. Dapatan menunjukkan peningkatan prestasi, manakala bagi empat aspek penilaian, 75% murid sangat bersetuju dan 20% bersetuju bahawa inovasi ini meningkatkan minat, kefahaman, penglibatan dan kemudahan pembelajaran. SmartMath4 menjimatkan masa guru, menyokong keputusan berasaskan data dan memperluas akses melalui komputer, SmartBoard, tablet serta telefon pintar. Penggunaan tanpa kertas mengurangkan bahan cetak, manakala kebolehskalaan awan menyokong peluasan ke sekolah dan komuniti. Inovasi dengan pemberitahuan hak cipta MyIPO ini menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan). Dengan kos pembangunan RM451, model RM20 setiap pengguna bagi 50 pengguna mengunjurkan hasil RM1,000 dan keuntungan RM549. Penambahbaikan dicadangkan melalui mod luar talian, analitik adaptif AI, sokongan dwibahasa dan pengujian berskala lebih besar.