PN837: SRI PUJANGGA ROBOTIC HERITAGE GUARDIAN FOR MALAY SYAIR PRESERVATION

Muhammad Adi Fahmi Bin Mohd Tarmizi SMK GERIK

Warisan kesusasteraan Melayu seperti manuskrip syair merupakan khazanah budaya yang penting, namun generasi muda mempunyai peluang yang terhad untuk mengakses dan menghargainya. Pada masa yang sama, pengendalian manuskrip secara kerap boleh menyebabkan kerosakan pada bahan asal. Bagi menangani cabaran ini, projek SRI PUJANGGA (Robotic Heritage Guardian for Malay Syair Preservation) dibangunkan sebagai sistem pameran warisan interaktif yang menggabungkan robotik, teknologi digital, multimedia dan kecerdasan buatan. Sistem ini menggunakan LEGO Mindstorms EV3, penderia ultrasonik, penderia sentuhan serta tiga motor untuk mengawal pencahayaan pameran dan mekanisme pembalikan halaman manuskrip. Apabila pengunjung menghampiri pameran, penderia ultrasonik mengaktifkan lampu LED secara automatik, manakala butang sentuhan membolehkan pengunjung mengaktifkan mekanisme pembalikan halaman tanpa menyentuh manuskrip secara langsung. Bagi meningkatkan akses dan pengalaman pembelajaran, versi digital manuskrip dalam tulisan Jawi dan Rumi disediakan melalui flipbook interaktif pada iPad dan televisyen, disertai audio dan adaptasi muzik syair berasaskan AI. Hasil pembangunan menunjukkan SRI PUJANGGA berjaya mengintegrasikan perlindungan manuskrip, interaksi robotik dan pembelajaran digital dalam satu platform pameran. Inovasi ini berpotensi digunakan di muzium, perpustakaan, sekolah dan pusat kebudayaan untuk memelihara serta mempromosikan warisan kesusasteraan Melayu secara lebih interaktif dan mudah diakses. Projek ini menyokong SDG 4, SDG 9 dan SDG 11.