NUR SYIFA' AYUNI BINT MOHD SANUZI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN MIZAN
ABSTRAK
Adjek Café merupakan inovasi bahan bantu mengajar (BBM) yang dibangunkan untuk meningkatkan penguasaan murid terhadap kata adjektif melalui pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berpusatkan murid. Inovasi ini menggabungkan BBM fizikal, permainan digital dan nota digital melalui kod QR bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna. Pelaksanaannya bermula dengan aktiviti Jom ke Café menggunakan konsep dam ular sebagai set induksi, diikuti aktiviti mengenal pasti kata adjektif berdasarkan gambar situasi café, menyusun padanan kata adjektif dengan objek atau makanan, permainan digital sebagai pengukuhan serta akses kepada nota interaktif melalui imbasan kod QR. Pendekatan gamifikasi yang digunakan mampu meningkatkan motivasi, tumpuan, penglibatan aktif dan kefahaman murid terhadap penggunaan kata adjektif. Selain itu, inovasi ini memudahkan guru melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara berterusan melalui pemerhatian terhadap prestasi murid dalam setiap aktiviti. Adjek Café turut menyokong pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) melalui penerapan elemen komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kreativiti dan penggunaan teknologi digital. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu serta mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, menyeronokkan dan inklusif.