SITI NURANIS BINTI MOHD ALIAS KPM-Guru SK SG LIMAU
Perkembangan pendidikan abad ke-21 menuntut transformasi ruang pembelajaran yang mampu meningkatkan penglibatan aktif, komunikasi dan pemikiran kritis murid. Namun demikian, hasil pemerhatian mendapati sebahagian murid Tahun 6 masih kurang yakin untuk berkomunikasi, berkongsi idea dan menerangkan konsep Matematik kepada rakan serta khalayak walaupun menguasai kemahiran asas. Bagi menangani isu ini, SEPADU 2.0 dibangunkan sebagai Model Transformasi Ekosistem Pembelajaran Matematik yang mentransformasikan ruang pembelajaran konvensional kepada persekitaran pembelajaran autentik, interaktif dan berpusatkan murid. Model ini mengintegrasikan enam ekosistem utama, iaitu Pembelajaran, Digital dan Kecerdasan Buatan (AI), Hands-on, Komunikasi, Inovasi serta Inspirasi bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang holistik. Murid bukan sahaja mempelajari Matematik melalui aktiviti penyelesaian masalah, malah berperanan sebagai pembentang, fasilitator permainan pendidikan, pengendali podcast, penerang inovasi dan pemudah cara kepada pelawat sekolah. Pelaksanaan model ini menunjukkan peningkatan ketara terhadap keyakinan diri, kemahiran komunikasi Matematik, penglibatan aktif dan motivasi murid dalam PdP. Selain dimanfaatkan oleh guru-guru Matematik di sekolah, model ini turut menjadi pusat perkongsian amalan terbaik melalui lawatan penanda aras oleh pegawai pendidikan, SISC+, Duta Guru dan sekolah-sekolah dari pelbagai negeri. Keunikan SEPADU 2.0 terletak pada keupayaannya mengintegrasikan transformasi ruang fizikal, pedagogi inovatif dan teknologi digital dalam satu model pembelajaran yang sistematik, lestari serta mudah direplikasi. Inovasi ini berpotensi diperluaskan sebagai model rujukan bagi memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah rendah.
Kata kunci: Model Bilik Sepadu; Komunikasi matematik; Transformasi ruang pembelajaran; Pendidikan abad ke-21.