WAN SERIWATI BINTI ABD AZIZ @ DIN KOLEJ POLY-TECH MARA KOTA BHARU
Perkembangan teknologi Artificial Intelligence (AI) membuka peluang baharu dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam bidang Keusahawanan Digital. Pelajar sering menghadapi cabaran dalam menjana idea perniagaan, membangunkan Business Model Canvas (BMC), menghasilkan kandungan promosi dan menentukan strategi pemasaran digital yang sesuai. Bagi menangani cabaran tersebut, SmartBiz X dibangunkan sebagai platform berasaskan AI yang berfungsi sebagai pembantu digital dalam membimbing pelajar membangunkan idea dan merancang perniagaan secara sistematik. SmartBiz X mengintegrasikan empat fungsi utama iaitu Business Idea Generator, BMC Generator, Copywriting dan Marketing Strategy dalam satu platform. Integrasi ini membolehkan pelajar menjana idea perniagaan, membangunkan BMC, menghasilkan kandungan promosi serta mendapatkan cadangan strategi pemasaran digital tanpa perlu menggunakan pelbagai platform secara berasingan. Keunikan SmartBiz X terletak pada konsep AI sebagai rakan pembelajaran, yang menyokong penerokaan idea, pembelajaran kendiri dan aplikasi pengetahuan secara interaktif. Inovasi ini berpotensi meningkatkan kreativiti, kecekapan dan keyakinan pelajar serta menyokong pensyarah dalam menghubungkan teori dengan amalan perniagaan digital.