Associate Professor Dr Mohd Shahril Bin Ahmad Razimi Seri Begawan Religious Teacher University College
Transformasi Digital: Sistem Pengajian Siswazah Bersepadu (SPSB) merupakan satu inisiatif strategik yang dibangunkan bagi mentransformasi pengurusan pengajian siswazah daripada sistem konvensional yang berasaskan dokumen dan proses manual kepada ekosistem digital yang bersepadu, cekap, telus dan berorientasikan data. Tujuan Sistem Pengajian Siswazah Bersepadu (SPSB) adalah sebagai platform digital yang mengintegrasikan keseluruhan pengurusan pengajian siswazah di KUPU SB, bermula daripada permohonan dan pendaftaran pelajar, pengurusan penyeliaan, pemantauan kemajuan pengajian, pengurusan tesis dan viva voce, sehinggalah kepada proses graduasi dan rekod alumni. Komponen utama sistem merangkumi e-Thesis, e-Pakar, e-Jurnal, e-Press serta mekanisme pemantauan kemajuan pelajar secara pintar (smart digital monitoring system). Pelaksanaan sistem ini berteraskan prinsip transformasi digital dan prinsip maqasid syariah, pengurusan berasaskan data, tadbir urus yang baik serta penambahbaikan berterusan melalui pendekatan Plan-Do-Check-Act (PDCA). Sistem ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal dan pertindihan proses, malah mempercepatkan aliran kerja, meningkatkan ketelusan pemantauan, memperkukuh komunikasi antara pelajar, penyelia dan pengurusan serta menyediakan data masa nyata bagi menyokong pembuatan keputusan strategik. Dari perspektif strategik dan kualiti, transformasi ini berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan akademik dan kualiti perkhidmatan, memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi serta menyokong aspirasi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke arah institusi pengajian tinggi yang lebih berdaya saing dan berorientasikan penyelidikan. Secara keseluruhannya, Sistem Pengajian Siswazah Bersepadu (SPSB) merupakan satu model transformasi digital yang menghubungkan proses, manusia, data dan teknologi dalam membangunkan pengurusan pengajian siswazah yang lebih pintar, responsif, berintegriti dan lestari.