PR245: I-Integriti 2.0

FAHMI BIN ODENI Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar

ICTE26 | Professional

CR: 0.0000 | 0 Likes | 1 Views | 2 times | LS: 2.0
Like it? | Support them now!

i-Integriti 2.0 ialah inovasi pembelajaran digital yang dibangunkan sebagai kesinambungan kepada i-Integriti versi terdahulu, iaitu permainan pendidikan berasaskan keputusan bagi memperkukuh kefahaman integriti dan antirasuah. Versi asal telah memperkenalkan pendekatan senario, skor dan pilihan tindakan, namun masih mempunyai kekangan dari aspek paparan mudah alih, kepelbagaian tahap soalan, maklum balas pembelajaran dan pengalaman pengguna. Oleh itu, i-Integriti 2.0 direka bentuk semula sebagai alat bantu mengajar yang lebih tersusun melalui skrin berasingan, mod misi, soalan berasaskan Akta SPRM, maklum balas segera, lencana pencapaian dan refleksi akhir. Pembangunan ini menggunakan pendekatan reka bentuk dan pembangunan berulang yang melibatkan analisis versi asal, reka bentuk semula kandungan, pemetaan nilai integriti dengan seksyen asas Akta SPRM, serta penilaian awal pengguna. Maklum balas awal melalui borang dalam talian melibatkan 85 respons lengkap daripada pelajar Kolej Poly-Tech MARA Alor Setar. Dapatan menunjukkan 96.5% responden menilai pengalaman penggunaan sebagai menarik atau sangat menarik, 85.9% mengakses melalui telefon pintar, dan 96.5% menyatakan kesediaan untuk terus menggunakan i-Integriti sekiranya diberi akses percuma. Fungsi paling disukai ialah soalan berdasarkan Akta SPRM, diikuti respons segera, simulasi situasi dan reka bentuk visual interaktif. Cadangan utama pula ialah penambahan situasi jenayah sebenar, suara atau muzik latar, penggunaan dwi bahasa dan penambahbaikan paparan responsif. Dapatan ini menunjukkan bahawa i-Integriti 2.0 berpotensi menjadi alat pembelajaran nilai yang praktikal, mudah alih dan sesuai digunakan dalam pengajaran KIAR serta latihan kesedaran integriti. Secara keseluruhan, maklum balas ini mengesahkan bahawa pembangunan i-Integriti 2.0 perlu berasaskan data pengguna, bukan sekadar andaian pembangun, agar inovasi yang dihasilkan lebih sesuai dengan keperluan pembelajaran semasa.