ADRIANA KAMILIA BINTI ABU BAKAR INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN MIZAN
Penguasaan konsep Matematik dalam kalangan murid sekolah rendah masih menjadi cabaran kerana pembelajaran yang bersifat abstrak, pendekatan PdP yang berpusatkan guru, serta penggunaan teknologi digital yang masih terhad. Selain itu, murid kurang berminat terhadap Matematik dan sukar mengaitkan konsep yang dipelajari dengan situasi kehidupan sebenar. Tambahan pula, inovasi sedia ada kebanyakannya hanya memanfaatkan permainan papan atau realiti terimbuh (AR) secara berasingan tanpa mengintegrasikan elemen pembelajaran berasaskan projek. Oleh itu, inovasi MathoPoly dibangunkan bagi meningkatkan kemahiran literasi matematik, pengintegrasian teknologi AR dalam PdP Matematik bagi murid Tahun 5. Inovasi ini dibangunkan menggunakan kerangka STEM-PBL-SDG yang diintegrasikan dengan model ADDIE, meliputi fasa analisis, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian. MathoPoly menggabungkan permainan papan berkonsepkan Monopoly, kad cabaran matematik, kod QR, teknologi AR menggunakan telefon pintar, token, ganjaran dan misi matematik yang berkonteks dunia sebenar. Inovasi ini didapati bukan sahaja meningkatkan kemahiran literasi matematik, tetapi juga mengaplikasikan kemahiran abad ke-21. Pada masa hadapan, inovasi ini dicadangkan diperkasakan melalui integrasi AI, AR, aplikasi mudah alih, mod permainan dalam talian, analitik prestasi murid dan perluasan kepada lebih banyak topik Matematik.