ST822: KidPreneur EduApp: Inovasi Pembelajaran Digital Interaktif Pendidikan Keusahawanan Kanak-Kanak Untuk Guru Prasekolah

MAZENI BINTI ISMAIL UPSI

ICTE26 | Ace Innovator

CR: 0.0000 | 0 Likes | 1 Views | 1 times | LS: 1.0
Like it? | Support them now!

KidPreneur EduApp: Inovasi Pembelajaran Digital Interaktif Pendidikan Keusahawanan Kanak-Kanak untuk Guru Prasekolah

 

Pendidikan keusahawanan pada peringkat awal kanak-kanak penting dalam membentuk kreativiti, keyakinan, kemahiran membuat keputusan dan pemikiran keusahawanan sejak usia muda. Namun, guru prasekolah masih memerlukan sumber pembelajaran yang mudah diakses, interaktif dan sistematik bagi membantu mereka mengintegrasikan elemen keusahawanan secara berkesan dalam pengajaran. Sehubungan itu, satu Aplikasi Pembelajaran Digital Interaktif Pendidikan Keusahawanan Kanak-Kanak telah dibangunkan sebagai inovasi digital bagi memperkasa kompetensi guru prasekolah melalui pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik dan mesra pengguna.

Inovasi ini dibangunkan berasaskan Model Reka Bentuk Instruksional ADDIE dengan mengintegrasikan kandungan pendidikan keusahawanan dan elemen pembelajaran digital interaktif dalam satu platform. Pembangunan inovasi dilaksanakan melalui tiga fasa utama, iaitu analisis keperluan melibatkan 150 orang guru prasekolah, pembangunan dan pengesahan aplikasi oleh lima orang pakar menggunakan Teknik Delphi serta pengesahan muka oleh enam orang guru, diikuti penilaian keberkesanan terhadap 100 orang guru yang terdiri daripada kumpulan intervensi (n=50) dan kumpulan kawalan (n=50).

Keberkesanan inovasi dinilai berdasarkan Model Penilaian Kirkpatrick. Hasil penilaian menunjukkan bahawa aplikasi ini berjaya meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan guru terhadap pendidikan keusahawanan kanak-kanak secara signifikan. Analisis ANOVA Satu Hala menunjukkan perbezaan signifikan antara kumpulan intervensi dan kawalan bagi pengetahuan [F(1,98)=85.99, p<.001, η²=0.47], sikap [F(1,98)=152.80, p<.001, η²=0.61] dan amalan [F(1,98)=21.76, p<.001, η²=0.18].

Keistimewaan inovasi ini terletak pada pendekatan digital, interaktif, fleksibel dan berpusatkan pengguna yang membolehkan guru meningkatkan kompetensi pendidikan keusahawanan secara kendiri serta mengaplikasikannya dalam pengajaran prasekolah. Inovasi ini bukan sahaja berpotensi memperkasa pembangunan profesional guru, malah menyokong transformasi pendidikan awal kanak-kanak ke arah pembelajaran yang lebih inovatif, kreatif dan berorientasikan kemahiran masa hadapan. Dengan potensi untuk diperluaskan penggunaannya kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak secara lebih meluas, aplikasi ini menawarkan satu penyelesaian digital yang praktikal dan berimpak bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan keusahawanan sejak peringkat awal.