PN644: Career Nexus

Nor Aleaya Batrisyia Binti Alyashek SMK Taman Desa Jaya

ABSTRAK

CAREER NEXUS

Penerokaan kerjaya dalam kalangan murid masih berhadapan dengan cabaran apabila pengetahuan tentang kerjaya cenderung tertumpu kepada profesion popular, manakala pendedahan kepada dunia pekerjaan pula masih banyak bergantung pada ceramah, poster dan bahan bacaan. Pada masa yang sama, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) mempunyai potensi untuk menjadi rakan pembimbing kerjaya, namun memerlukan medium dan panduan yang sesuai untuk menyokong rakan sebaya. Sehubungan itu, Career Nexus dibangunkan sebagai inovasi eksplorasi kerjaya berasaskan gamifikasi yang menggabungkan simulasi pekerjaan, maklum balas digital, rekod penerokaan kerjaya dan pendekatan bimbingan rakan sebaya. Melalui konsep Explore → Play → Experience → Reflect, murid bukan sekadar memperoleh maklumat tentang sesuatu profesion, malah berpeluang membuat keputusan dalam situasi pekerjaan dan mengalami simulasi tugasan kerjaya secara interaktif. Inovasi ini turut memperkasakan PRS dengan menyediakan medium dan panduan untuk membantu rakan meneroka pilihan kerjaya, sekali gus mewujudkan peranan murid sebagai peneroka aktif dan PRS sebagai penggerak penerokaan kerjaya rakan sebaya. Hasil yang diketengahkan melalui inovasi ini merangkumi peningkatan pengetahuan tentang kepelbagaian pilihan kerjaya, penerokaan yang lebih bermakna melalui pengalaman membuat keputusan serta peningkatan keupayaan PRS dalam membimbing rakan. Dari aspek kebolehgunaan, Career Nexus berpotensi digunakan oleh murid pelbagai tingkatan mengikut minat dan tahap, serta diintegrasikan dalam aktiviti PRS, program bimbingan dan kaunseling, Minggu Kerjaya, hari terbuka dan pelbagai aktiviti eksplorasi kerjaya di sekolah. Secara keseluruhannya, Career Nexus membawa penerokaan kerjaya daripada pembelajaran pasif kepada pengalaman kerjaya interaktif, agar murid dapat meneroka, mengalami dan membuat refleksi terhadap pilihan kerjaya dengan lebih bermakna.

Kata kunci: Career Nexus, eksplorasi kerjaya, gamifikasi, simulasi pekerjaan, Pembimbing Rakan Sebaya, bimbingan kerjaya.