CIK NURFITROTUL HASANAH BINTI CIK SHAHRULMUNIR SMK GERIK
Peningkatan pembuangan kertas terpakai di sekolah, khususnya pada penghujung tahun persekolahan, menimbulkan masalah penyimpanan dan pelupusan serta meningkatkan pembaziran sumber. Pada masa yang sama, keperluan sekolah terhadap rak penyimpanan, papan tanda, bahan pameran dan produk sokongan lain turut melibatkan kos pembelian yang tinggi. Projek ini membangunkan EcoFiber Multipurpose Board (EMBOARD), iaitu papan komposit pelbagai guna yang dihasilkan daripada kertas terpakai sebagai bahan utama. Kajian ini bertujuan menentukan sama ada kertas terpakai dapat diproses menjadi papan yang kukuh, praktikal, menjimatkan kos dan mempunyai nilai tambah. Proses penghasilan melibatkan pengisaran kertas menjadi pulpa, penapisan, pencampuran bahan pengikat, pembentukan menggunakan acuan, pemadatan, pengeringan dan kemasan. Pada peringkat awal, gam cair komersial digunakan sebagai bahan pengikat. Bagi mengurangkan kos penghasilan, khususnya untuk EMBOARD bersaiz besar, gam kanji berasaskan tepung ubi kayu dan air diperkenalkan sebagai alternatif yang lebih ekonomik. Hasil menunjukkan EMBOARD berjaya dihasilkan dalam pelbagai saiz dan ketebalan serta boleh dipotong, dicantum dan dibentuk kepada pelbagai produk seperti rak penyimpanan, papan tanda, logo dan bahan pameran. Penggunaan gam kanji turut mengurangkan kos penghasilan tanpa menjejaskan fungsi produk. Kesimpulannya, EMBOARD berpotensi menjadi alternatif bahan komposit yang mesra alam, bernilai tambah dan berdaya guna, di samping menyokong pengurangan sisa kertas, amalan penggunaan lestari dan SDG 12: Responsible Consumption and Production.