PN475: PALMPURE: PENGHASILAN SABUN MESRA ALAM DARIPADA MINYAK MASAK TERPAKAI

EDVOEND ELWEY SMK BELURAN BESTARI

PalmPure: Eco-Friendly Upcycled Soap merupakan projek Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) yang dibangunkan berdasarkan DSKP Sains Tingkatan 5 Bab 5: Sebatian Karbon, khususnya konsep saponifikasi. Projek ini bertujuan meningkatkan penguasaan murid terhadap konsep saponifikasi melalui penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai, di samping memupuk kesedaran terhadap pengurusan sisa secara lestari. Pelaksanaan projek melibatkan aktiviti penyelidikan, penghasilan produk, promosi serta pengumpulan maklum balas pengguna. Dapatan menunjukkan murid dapat memahami konsep saponifikasi dengan lebih berkesan melalui pembelajaran secara amali, selain meningkatkan kemahiran komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis. Projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim dengan menggalakkan penggunaan semula minyak masak terpakai bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. Secara keseluruhannya, PalmPure membuktikan bahawa pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek mampu menjadikan pembelajaran Sains lebih bermakna, meningkatkan penglibatan murid serta menghasilkan produk mesra alam yang mempunyai potensi sebagai inovasi dan keusahawanan.