Muhammad Akid Arsyad Bin Hamza SMK TAMAN DESA JAYA
Pemilihan kerjaya merupakan satu keputusan penting yang perlu dipersiapkan sejak di bangku sekolah. Namun begitu, masih terdapat murid yang belum jelas tentang hala tuju selepas SPM, kurang membuat persediaan awal serta tidak mengetahui pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan diri. Keadaan ini menunjukkan keperluan terhadap pendekatan bimbingan kerjaya yang lebih mudah diakses, sistematik dan dekat dengan pengalaman murid. Sehubungan itu, TeenJob Deja dibangunkan sebagai satu inovasi bimbingan kerjaya digital yang mengintegrasikan Inventori Minat Kerjaya (IMK) dengan maklumat berkaitan kerjaya bagi membantu murid mengenali potensi diri dan merancang hala tuju masa hadapan. Melalui platform ini, murid menjalani penilaian secara dalam talian, menjawab item yang berkaitan dengan kecenderungan diri serta mendapatkan maklumat dan cadangan kerjaya yang boleh dijadikan panduan dalam proses penerokaan kerjaya. Penggunaan TeenJob Deja turut memperluas peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dengan menyediakan medium dan data yang boleh dimanfaatkan untuk membimbing rakan sebaya dalam penerokaan serta pemilihan kerjaya. Inovasi ini bukan sahaja memudahkan murid memahami diri dan meneroka pilihan kerjaya, malah menyokong guru bimbingan dan kaunseling dalam menyampaikan maklumat kerjaya secara lebih tersusun. TeenJob Deja berpotensi digunakan secara meluas dalam program bimbingan kerjaya, aktiviti sekolah dan intervensi perancangan masa depan kerana berasaskan platform digital yang mudah dicapai. Secara keseluruhannya, inovasi ini membawa pendekatan bimbingan kerjaya daripada sekadar penyampaian maklumat kepada penerokaan kendiri yang lebih terarah, agar murid dapat mengenali diri, membuat pertimbangan kerjaya dan merancang masa depan dengan lebih yakin.
Kata kunci: TeenJob Deja, bimbingan kerjaya, Inventori Minat Kerjaya, penerokaan kerjaya, Pembimbing Rakan Sebaya, perancangan kerjay
Keunikan TeenJob Deja terletak pada usaha menterjemahkan keputusan tiga kod Holland kepada maklumat yang lebih dekat dengan persoalan dan keperluan murid. Murid bukan sahaja mengetahui kod mereka, tetapi dapat meneroka persoalan seperti “Apa maksud kod saya?”, “Bidang apa yang boleh saya terokai?”, “Kursus apa yang bersesuaian?” dan “Apakah kerjaya yang boleh saya pertimbangkan?”. Cadangan yang dipaparkan berfungsi sebagai panduan awal untuk penerokaan dan tidak bertujuan menentukan kerjaya murid secara mutlak.
Secara keseluruhannya, TeenJob Deja berpotensi menjadikan keputusan Inventori Minat Kerjaya lebih mudah difahami, lebih bermakna dan lebih dekat dengan proses perancangan pendidikan dan kerjaya murid. Inovasi ini turut memberi ruang kepada PRS untuk memainkan peranan sebagai rakan sokongan dalam membudayakan penerokaan kerjaya di sekolah. Pendekatan ini diharapkan dapat membantu murid bergerak daripada sekadar “tahu kod Holland” kepada “faham, teroka dan rancang” berdasarkan minat serta kecenderungan diri