ST599: HIJRALLE: INTEGRASI AI, BRAILLE DAN DIORAMA BERSENSORI BAGI PENGAJARAN TOPIK SIRAH UNTUK MBPK BUTA

MUHAMMAD ANAS AKRAM BIN ANANG IPG KAMPUS KOTA BHARU

Pembelajaran Sirah dalam Pendidikan Islam lazimnya menggunakan bahan visual seperti gambar, peta, ilustrasi dan video yang kurang dapat diakses oleh Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan. Kebergantungan terhadap bahan visual serta penerangan lisan semata-mata menyebabkan murid buta menghadapi kesukaran membina gambaran mental terhadap peristiwa, lokasi dan kronologi sejarah Islam, khususnya dalam tajuk Hijrah Membawa Rahmat. Sehubungan itu, amalan ini mengintegrasikan teknologi Suno AI sebagai medium penjanaan lagu dan penceritaan audio dengan diorama bersensori, peta taktil dan tulisan Braille bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran multisensori. Pelaksanaan melibatkan lima fasa, iaitu pengenalan tajuk melalui peta taktil, penerokaan maklumat menggunakan Braille, akses kepada bacaan melalui kod QR, penerokaan diorama secara berpandu serta pengalaman pembelajaran kendiri melalui gabungan sentuhan dan audio. Amalan ini bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap kandungan Sirah, membantu mengingati fakta, kronologi dan peristiwa hijrah serta meningkatkan penglibatan dan motivasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Integrasi teknologi AI dengan bahan bantu mengajar bersensori berpotensi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih autentik, bermakna dan mesra akses kepada MBPK buta, di samping menyokong pelaksanaan pendidikan yang inklusif dan saksama.