NUR QASEH QAISARA BINTI AHMAD SOFIAN SK PULAU TIGA KIRI
Peningkatan sisa makanan di kantin sekolah menyumbang kepada pencemaran alam sekitar jika tidak diurus dengan cekap. Kajian ini memfokuskan kepada inovasi produk makanan kucing berasaskan sisa makanan kantin sekolah yang diberi nama Re-Purr-Pose. Sisa makanan yang didapati di kantin telah diolah menjadi makanan kucing bernutrisi serta diterima oleh populasi kucing dan komuniti tempatan. Objektif kajian ini adalah untuk mengurangkan pembaziran sisa makanan kantin dan mengurangkan penghasilan bau hasil daripada buangan sisa makanan di kantin. Kajian ini melibatkan pemprosesan sisa makanan kantin sekolah melalui fasa pengasingan, pengisaran, pemadatan dan proses pembakaaran menjadi palet makanan kering. Hasil analisis membuktikan bahawa satu bakul sisa makanan seberat 2kg berjaya menghasilkan 15 paket makanan kucing Re-Purr-Pose seberat 100g setiap satu. Pemerhatian ke atas 3 ekor kucing dewasa menunjukkan kesemua kucing memakan produk makanan kucing ini. Maklum balas pengguna mendapati Re-Purr-Pose mendapat sambutan yang sangat positif daripada penduduk sekitar dengan mendapat skala 4 dalam Penilaian Sensori Produk dan Penerimaan Pengguna. Bagi penambahbaikan pada masa hadapan, bentuk adunan produk boleh ditambah baik dengan menggunakan acuan, menambah kepelbagaian sisa makanan dan menambah baik pembukusan supaya lebih bersifat komersial di pasaran. Kesimpulannya, inovasi Re-Purr-Pose bukan sahaja berjaya mengurangkan kebergantungan kepada pelupusan sisa makanan kantin, malah berpotensi tinggi sebagai alternatif makanan kucing yang ekonomik, bernilai komersial, dan menyokong kelestarian alam sekitar.