NURUL FARHANA NAJWA BINTI MOHD RADZI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS KOTA BHARU
Kebimbangan dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) semakin meningkat akibat tuntutan akademik, latihan praktikum dan keperluan pembangunan profesional yang berterusan. Keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan emosi, tumpuan, motivasi dan prestasi akademik sekiranya tidak ditangani secara berkesan. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan menilai keberkesanan VIBRACALM-X (Vibration-Based Relaxation and Calming Glove System), iaitu satu inovasi teknologi boleh pakai berasaskan getaran, sebagai intervensi relaksasi kendiri dalam mengurangkan tahap kebimbangan pelajar IPG. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kuasi eksperimen jenis One Group Pre-test Post-test Design. Seramai 30 orang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu yang dikenal pasti mempunyai tahap kebimbangan ringan hingga tinggi dipilih secara persampelan bertujuan sebagai responden kajian. Tahap kebimbangan diukur menggunakan Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21), manakala tahap penerimaan pengguna dinilai melalui soal selidik yang dibangunkan berasaskan Technology Acceptance Model (TAM). Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif, Ujian-t Sampel Berpasangan dan Korelasi Pearson melalui perisian SPSS. Dapatan kajian menunjukkan skor min kebimbangan menurun daripada 3.89 sebelum intervensi kepada 1.52 selepas penggunaan VIBRACALM-X. Analisis Ujian-t Sampel Berpasangan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara skor pra dan pasca ujian (t = 13.12, p < 0.05), sekali gus membuktikan keberkesanan VIBRACALM-X dalam mengurangkan tahap kebimbangan pelajar. Tahap penerimaan pengguna terhadap inovasi ini juga berada pada tahap tinggi dengan skor min keseluruhan 4.69, manakala analisis Korelasi Pearson menunjukkan hubungan positif yang kuat dan signifikan antara tahap penerimaan pengguna dengan keberkesanan penggunaan VIBRACALM-X (r = 0.781, p < 0.05). Kesimpulannya, VIBRACALM-X merupakan inovasi psikopendidikan yang berkesan, praktikal dan mesra pengguna serta berpotensi dijadikan sebagai intervensi sokongan kesejahteraan mental di Institut Pendidikan Guru dan institusi pendidikan tinggi yang lain.
Kata kunci: VIBRACALM-X, teknologi boleh pakai, intervensi relaksasi, kebimbangan, kesejahteraan mental, Institut Pendidikan Guru.