Mohamad Danish Daniel Bin Shahril SMK Taman Desa Jaya
Murid berhadapan dengan pelbagai situasi dalam kehidupan yang memerlukan mereka mengurus pemikiran, emosi dan tindakan dengan bijak. Namun, masih terdapat murid yang kurang mengetahui cara menangani tindak balas negatif dengan baik, terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet untuk perkara yang kurang berfaedah serta kurang motivasi dalam menghadapi cabaran kehidupan. Sehubungan itu, MindoKad Game dibangunkan sebagai permainan kad interaktif yang menggabungkan elemen pendidikan dan permainan melalui situasi positif dan negatif. Setiap kad mencetuskan murid untuk mengenal pasti sesuatu situasi, menilai pilihan yang ada dan membuat keputusan yang lebih positif. Pendekatan “Know, Think, Choose, Grow” digunakan bagi membimbing murid daripada proses mengenali situasi kepada pemikiran yang lebih rasional, pemilihan tindakan dan pembentukan diri yang positif. Permainan ini dilaksanakan secara interaktif bersama rakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, di samping menggalakkan murid berfikir, berkomunikasi dan membuat pertimbangan sebelum bertindak. MindoKad Game berpotensi membantu murid mengurus diri dengan lebih baik, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri serta membina keupayaan membuat keputusan yang lebih baik. Penggunaannya juga berpotensi menjadi alternatif kepada penggunaan skrin secara berterusan kerana permainan boleh dimainkan secara bersemuka, mudah dihasilkan dan menggunakan bahan yang mudah diperoleh. Secara keseluruhannya, MindoKad Game menjadikan proses pembelajaran kendiri lebih dekat dengan kehidupan sebenar melalui pendekatan belajar sambil bermain, sekali gus menggalakkan murid memilih tindakan yang lebih positif dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Kata kunci: MindoKad Game, pemikiran positif, pengurusan emosi, kemahiran membuat keputusan, motivasi, pembelajaran berasaskan permainan.