PR842: E-Hadis40: Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi Berasaskan Aplikasi Web Interaktif

SAEID RAMADHAN MOHD SHAKRI KIAS

ICTE26 | Professional

CR: 0.0435 | 1 Likes | 23 Views | 12 times | LS: 13.0
Like it? | Support them now!

Abstrak

Pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak dan nilai murni. Namun begitu, penggunaan bahan pembelajaran bercetak pada masa kini berdepan dengan cabaran dari segi kebolehcapaian, fleksibiliti dan penglibatan pengguna dalam persekitaran pembelajaran digital. Bagi memenuhi keperluan tersebut, e-Hadis40: Modul Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi dibangunkan sebagai satu inovasi pendigitalan bahan pembelajaran yang berteraskan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi terbitan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (2024), selaras dengan pelaksanaan aktiviti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2024).

Dari aspek kandungan, e-Hadis40 mengekalkan kerangka dan asas penghayatan Modul Hadis 40 KPM yang menggunakan rujukan syarah hadis seperti Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam (Ibn Rajab al-Hanbali, 1988), Al-Kafi & Tatmim al-Kafi: Syarah Hadis 40 (Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2023) dan Syarah Hadis 40 (Mohd Solleh Abd Razak, 2023). Dari aspek teknologi pula, e-Hadis40 dibangunkan menggunakan Progressive Web App (PWA) yang responsif, ringan dan mesra pengguna serta boleh diakses melalui telefon pintar, tablet dan komputer tanpa memerlukan pemasangan aplikasi konvensional. Platform ini menghimpunkan teks hadis, terjemahan, bahan penghayatan dan profil ringkas perawi dalam satu ruang digital bagi memudahkan pembelajaran kendiri secara lebih fleksibel.

Memandangkan Modul Hadis 40 KPM tidak menyediakan biodata lengkap bagi setiap perawi, maklumat biografi perawi dalam e-Hadis40 dirujuk daripada sumber biografi muktabar seperti Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Ibn Hajar al-‘Asqalani, 1995), Siyar A‘lam al-Nubala’ (al-Dhahabi, 1985) dan beberapa sumber lain. Keistimewaan e-Hadis40 terletak pada usaha menggabungkan kandungan Pendidikan Islam yang berasaskan sumber KPM dengan kemudahan teknologi digital, tanpa mengubah asas kandungan hadis. Secara keseluruhannya, e-Hadis40 berpotensi meningkatkan kebolehcapaian dan fleksibiliti pembelajaran, di samping membantu pengguna memahami dan menghayati Hadis 40 secara lebih mudah serta relevan dengan keperluan pembelajaran masa kini. Inovasi ini juga berpotensi menyokong usaha pendigitalan pendidikan Islam dan memperkukuh penghayatan Hadis 40 dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Kata kunci: e-Hadis40; Hadis 40 Imam al-Nawawi; Modul Hadis 40 KPM; Progressive Web App; Biografi Perawi Hadis; Pendidikan Islam; Teknologi Pendidikan