ST738: KIT SMART ISTINJAK

NUR ASILAH BINTI MOHD RAHIM INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS SULTAN MIZAN

KIT SMART ISTINJAK

Nur Asilah Binti Mohd Rahim, Nurin Arifah Binti Mohd Fazlee dan

Anisa Sofieyah Binti Zori

a) Pengenalan Umum

Penguasaan murid terhadap subjek Pendidikan Islam khususnya dalam bidang ibadah berkaitan istinjak memerlukan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan serta sesuai dengan keperluan murid. Namun, murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah dan murid yang mempunyai masalah penglihatan sering menghadapi kesukaran untuk memahami konsep dan amali istinjak kerana mereka memerlukan pendekatan pembelajaran yang lebih konkrit, berulang dan belajar melalui kaedah tektual, auditori dan pengalaman estetik (Zakaria et al., 2017).

 

b) Pengenalan Produk Inovasi

Smart Kit Istinjak dibangunkan sebagai satu inovasi yang menggabungkan BBM maujud dan dua aplikasi digital interaktif bagi membantu murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah serta murid bermasalah penglihatan memahami dan menguasai tajuk istinjak dengan lebih berkesan. Melalui aktiviti hands-on, elemen audio, visual dan permainan interaktif, kit ini dapat meningkatkan minat, kefahaman dan daya ingatan murid. Pendekatan pelbagai deria ini selari dengan keperluan murid masalah pembelajaran yang memerlukan strategi pengajaran yang pelbagai dan bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka. Hal  ini  kerana keberkesanan pengajaran bergantung kepada strategi yang digunakan oleh guru. Pemilihan strategi yang lemah, bosan dan tidak kreatif menyebabkan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik (Hussin et al., 2024).

 

c) Objektif

Membantu murid yang lemah dalam pembelajaran dan murid bermasalah penglihatan memahami kandungan pembelajaran melalui penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) maujud, audio dan aplikasi digital yang mesra pengguna.

Meningkatkan penguasaan kemahiran amali istinjak melalui aktiviti hands-on yang membolehkan murid belajar secara pengalaman langsung dan lebih bermakna.

Membantu guru melaksanakan PdP yang lebih berkesan dan kreatif melalui penggunaan inovasi yang mengintegrasikan bahan maujud dan teknologi digital dalam pengajaran tajuk istinjak.

 

d) Aplikasi Kajian

Pertama, inovasi Smart Kit Istinjak menggunakan bahan maujud seperti kulit kayu, daun kering, tisu, kertas, kain, batu dan anak patung serta disokong oleh aplikasi digital interaktif bagi membantu murid memahami tajuk istinjak secara berperingkat. Penggunaan kit ini dimulakan dengan aktiviti pengenalan alat-alat istinjak, di mana murid akan menyentuh, melihat dan mengenal pasti bahan-bahan yang disediakan. Guru akan membimbing murid untuk mengelaskan alat yang boleh digunakan untuk istinjak seperti batu, tisu dan air serta alat yang tidak boleh digunakan seperti makanan atau bahan yang dihormati.

Seterusnya, murid akan menggunakan kod QR atau aplikasi digital yang mengandungi audio penerangan dan arahan berkaitan konsep istinjak. Elemen audio ini membantu murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah dan murid bermasalah penglihatan memahami isi pelajaran dengan lebih mudah melalui kaedah pendengaran. Murid boleh mengulang semula audio tersebut mengikut keperluan mereka bagi mengukuhkan pemahaman.

Pada peringkat seterusnya, murid akan menjalankan aktiviti simulasi amali istinjak menggunakan anak patung yang disediakan. Guru akan menunjukkan langkah-langkah istinjak yang betul dan murid diminta mempraktikkannya secara hands-on. Aktiviti ini membolehkan murid memahami urutan tatacara istinjak dengan lebih jelas berbanding penerangan secara teori semata-mata.

Selepas itu, murid akan mengakses permainan atau kuiz interaktif berbentuk game yang dibangunkan dalam aplikasi digital. Melalui aktiviti ini, murid dikehendaki memilih alat istinjak yang betul, menyusun langkah-langkah istinjak mengikut urutan yang tepat serta menjawab soalan berkaitan hukum dan adab istinjak. Aktiviti pengukuhan ini dapat meningkatkan daya ingatan, kefahaman dan penguasaan murid terhadap kandungan pembelajaran yang telah dipelajari dengan cara yang lebih menyeronokkan dan interaktif.

Akhir sekali, guru akan menjalankan penilaian pra dan pasca menggunakan borang atau kuiz yang disediakan dalam kit bagi mengukur tahap penguasaan murid sebelum dan selepas menggunakan Smart Kit Istinjak. Melalui proses ini, guru dapat mengenal pasti peningkatan kefahaman murid serta menilai keberkesanan penggunaan inovasi tersebut dalam membantu penguasaan tajuk istinjak. Oleh itu, Smart Kit Istinjak berfungsi sebagai medium pembelajaran yang menggabungkan pengalaman sentuhan, pendengaran, penglihatan dan interaksi digital bagi mewujudkan pembelajaran yang lebih bermakna, menyeronokkan dan inklusif.

 

e) Potensi Pasaran

Inovasi Smart Kit Istinjak mempunyai potensi pasaran yang luas dalam bidang pendidikan, khususnya bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam di sekolah rendah, sekolah pendidikan khas dan program pendidikan inklusif. Inovasi ini boleh dipasarkan kepada guru-guru Pendidikan Islam, guru pendidikan khas serta institusi pendidikan yang berusaha menyediakan bahan bantu mengajar yang mesra murid dan berpusatkan pembelajaran abad ke-21.

Selain itu, Smart Kit Istinjak berpotensi untuk diperluaskan penggunaannya sebagai bahan sokongan pengajaran di bawah program dan modul yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi meningkatkan kualiti PdP Pendidikan Islam. Kit ini juga sesuai digunakan dalam latihan guru, bengkel inovasi pendidikan serta program pembangunan profesionalisme keguruan kerana menggabungkan elemen bahan maujud, teknologi digital dan pembelajaran interaktif.

Di samping itu, inovasi ini boleh digunakan oleh sekolah-sekolah yang mempunyai murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah dan murid bermasalah penglihatan kerana reka bentuknya yang menitikberatkan pendekatan pelbagai deria, iaitu sentuhan, pendengaran dan penglihatan. Ciri-ciri ini menjadikan Smart Kit Istinjak sebagai satu produk pendidikan yang mampu memenuhi keperluan pembelajaran pelbagai kategori murid secara lebih inklusif dan berkesan.

Dengan kos reka cipta yang rendah, mesra pengguna dan unik ianya berpotensi untuk diaplikasikan kepada tajuk-tajuk ibadah yang lain seperti wuduk, tayamum dan solat, Smart Kit Istinjak mempunyai peluang yang tinggi untuk dikomersialkan dan digunakan secara meluas oleh institusi pendidikan di seluruh negara. Hal ini sekali gus dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan penguasaan ilmu fardu ain dalam kalangan murid melalui kaedah pembelajaran yang lebih menarik, interaktif dan bermakna.

 

f) Keaslian 

Produk ini merupakan hasil ciptaan dan inovasi yang dibangunkan oleh kami sendiri berdasarkan idea-idea yang terhasil daripada pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hasil pemerhatian mendapati bahawa murid-murid tahap yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah menghadapi kesukaran untuk memahami konsep dan amali ibadah, khususnya berkaitan tajuk istinjak. Oleh itu, produk ini dibangunkan bagi membantu meningkatkan kefahaman, penguasaan dan daya ingatan murid terhadap kandungan pembelajaran melalui pendekatan yang lebih interaktif, konkrit dan mesra pengguna.

Produk ini telah melalui proses penilaian awal melalui pelaksanaan ujian pratest dan postest bagi menilai keberkesanannya terhadap pencapaian murid. Hasil dapatan menunjukkan berlaku peningkatan dalam tahap penguasaan dan kefahaman murid selepas menggunakan produk ini. Selain itu, produk ini turut diuji dari segi kebolehgunaan dan kesesuaiannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus membuktikan bahawa inovasi ini berpotensi menjadi bahan bantu mengajar yang efektif.

h) Rumusan dan Cadangan

Rumusan

         Secara keseluruhannya, Smart Kit Istinjak merupakan satu inovasi bahan bantu mengajar (BBM) yang menggabungkan bahan maujud, elemen audio dan aplikasi digital bagi membantu murid yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah serta murid bermasalah penglihatan menguasai tajuk istinjak dengan lebih berkesan. Inovasi ini memberi penekanan kepada pembelajaran secara pelbagai deria melalui aktiviti hands-on, simulasi amali dan permainan interaktif yang mampu meningkatkan minat, kefahaman serta daya ingatan murid. Hasil pelaksanaan ujian praujian dan pascaujian menunjukkan peningkatan dalam tahap penguasaan murid selepas menggunakan kit ini. Selain membantu murid, Smart Kit Istinjak turut memudahkan guru melaksanakan PdP yang lebih kreatif, interaktif dan inklusif selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Cadangan

         Bagi meningkatkan keberkesanan Smart Kit Istinjak pada masa hadapan, beberapa penambahbaikan boleh dilaksanakan. Antaranya ialah menambah lebih banyak kandungan interaktif seperti video, animasi dan permainan digital yang bersesuaian dengan tahap murid. Selain itu, kit ini boleh diperluaskan kepada tajuk-tajuk ibadah yang lain seperti wuduk, tayamum, mandi wajib dan solat supaya penggunaannya lebih menyeluruh dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Penggunaan teknologi seperti aplikasi mudah alih dan kecerdasan buatan (AI) juga boleh dipertimbangkan bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan mesra pengguna. Di samping itu, kajian keberkesanan yang melibatkan lebih ramai murid daripada pelbagai jenis sekolah wajar dijalankan bagi menambah baik produk serta meningkatkan potensinya untuk dikomersialkan dan digunakan secara meluas di institusi pendidikan negara.

 

I) Rujukan

Hussin, N. A., Dzulkifli, I., & Ahmad, M. N. (2024). Kepelbagaian strategi pengajaran Al-Quran kepada murid masalah pembelajaran. Journal of Quran Sunnah Education & Special Needs, 8(2), 33–48.DOI: https://doi.org/10.33102/jqss.vol8no2.223URL:Journal of Quran Sunnah Education & Special Needs.

Zakaria, H. B., Tamuri, A. H., Salleh, N. M., & Awang@Husain, M. H. (2017). Persekitaran pembelajaran Tilawah al-Quran murid masalah penglihatan di Malaysia. Proceedings of International Conference on Special Education, 2. URL: Proceedings of International Conference on Special Education Article.