PN646: PATHFINDER AR: Inovasi Eksplorasi Kerjaya Berasaskan Teori Holland (RIASEC) Melalui Teknologi Augmented Reality

Qaseh Nur Qasrina Binti Mohd Fikri SMK Taman Desa Jaya

ABSTRAK

PATHFINDER AR: Inovasi Eksplorasi Kerjaya Berasaskan Teori Holland (RIASEC) melalui Teknologi Augmented Reality

Pemilihan kerjaya yang tepat memerlukan murid memahami minat, personaliti dan potensi diri sebelum menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya. Namun, penerokaan kerjaya dalam kalangan murid masih cenderung bergantung kepada kaedah konvensional seperti ceramah, poster dan bahan berbentuk teks, di samping pemahaman terhadap enam kod Holland (RIASEC) yang masih terhad. Keadaan ini boleh menyebabkan murid kurang mengenali pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan kecenderungan diri. Sehubungan itu, PATHFINDER AR dibangunkan sebagai inovasi eksplorasi kerjaya yang mengintegrasikan teknologi Augmented Reality (AR), kad kerjaya dan kod QR berasaskan enam domain Teori Holland, iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional. Melalui inovasi ini, murid memilih kad berdasarkan domain Holland, mengimbas kod QR, mengaktifkan paparan AR dan meneroka maklumat berkaitan ciri personaliti serta pilihan kerjaya. Pendekatan ini memberikan pengalaman penerokaan yang lebih visual, interaktif dan mudah difahami. Pelaksanaan PATHFINDER AR membolehkan murid memahami hubungan antara kecenderungan diri dengan dunia kerjaya, meneroka pelbagai pilihan kerjaya serta membuat refleksi terhadap kesesuaian kerjaya dengan diri mereka. Selain itu, inovasi ini berpotensi memperkasa Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sebagai rakan pembimbing dalam penerokaan kerjaya. Dengan kos penghasilan yang rendah serta hanya memerlukan kad, kod QR dan telefon pintar, PATHFINDER AR berpotensi digunakan dalam sesi bimbingan, program kerjaya, aktiviti kelas dan program eksplorasi kerjaya di pelbagai institusi pendidikan.

Kata kunci: PATHFINDER AR, Augmented Reality, Teori Holland, RIASEC, eksplorasi kerjaya, Pembimbing Rakan Sebaya